Siri Bercakap dengan Cermin
Seadanya Kuterima
🧬Membaca siri ini, membuatkan diri tertanya-tanya sendiri. Apa sebenarnya tafsiran cermin dalam tajuk siri ini? Dalam tak sedar, teringat cerita coretan Tamar Jalis dalam siri Bercakap dengan Jin yang dahulu ketika kecil kami baca bergilir-gilir.
😅Maaf-maaf, jauh sungguh ingatan saya. Terkenang-kenang zaman kanak-kanak.
💈Sesungguhnya hanya dengan mendalami kisah di dalam buku ini, secara tidak langsung kita akan faham tafsiran figura cermin di dalam tajuk siri ini.
🎀Seadanya Kuterima adalah sebuah antologi kisah jujur keinsafan yang dinukilkan oleh setiap penulis. Betapa penulis menafsir kekesalan adegan hidup mereka dan disusuli dengan rasa sesalan untuk memperbaiki diri serta rasa tawakal dan redha supaya sentiasa bersyukur dengan kurniaan Ilahi. Indah nikmat Ilahi yang disyukuri bukti rasa kita redha dengan ujian yang diberi.
👩🏽🔬Bagi yang belum memulakan pembacaan, sungguh Seadanya Kuterima adalah antologi kisah keinsafan yang mudah difahami. Membacanya kita dapat rasakan ia sangat dekat dengan kisah seharian kita sebagai seorang anak, isteri, ibu, pekerja, pengusaha dan sebagai seorang Hamba Allah swt.
😭Sebagai seorang manusia biasa, bukan mudah membuang ego namun secara lembut dan tulus, penulis menyatakan beberapa contoh untuk kita selusuri buat sedikit panduan untuk kita teladani.
🙇🏼♀️Kisah pertama antologi adalah garapan Bonda Nor sendiri. Nukilan jujur rasa hati Bonda yang acapkali dirasai oleh semua wanita bergelar ibu. Bukan mudah melepaskan anak jauh di mata, berfikir yang tidak-tidak. Jujur rasa hati itu pun turut saya rasai. Membacanya seolah-olah terkena batang hidung sendiri. Dua perenggan terakhir adalah penutup rasa hati seorang ibu. Nasihat supaya sentiasa kuat pergantungan kepada Ilahi dan sentiasa positif mengharapkan yang terbaik dan bersiap siaga jika sebaliknya berlaku.
🤰Beberapa penulisan lain yang dikongsikan dalam antologi ini turut bercerita mengenai kisah hati seorang ibu kepada anak-anak mereka. Dalam kita sendiri berperang dengan diri kerana rasa gagal menjalankan tanggungjawab, sungguh berbesar hati tatkala mengetahui sesungguhnya bukan hanya kita berasa begitu.
🥺Jujurnya perasan penulis sebegini turut saya alami. Kadang-kadang rasa gagal menguasai diri. Saya menangis sendiri.
“Aku gagal.”
“Aku tewas.”
“Aku tidak layak.”
“Aku putus ada.”
Mengapa saya tidak berjaya menjadi anak, isteri dan ibu yang hebat. Rasa beban tanggungjawab itu bagaikan tak terbuat. Betapa rasa tidak cukup masa untuk menjalankan semua tanggungjawab sedangkan orang lain hebat menjalankannya.
😷Membaca penulisan sebegini membuatkan saya terfikir, tidak perlu menyesali dan berputus asa. Ia tidak akan menyelesaikan masalah dan menyelamatkan keadaan. Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian. Kita perlu bercakap dengan cermin dan memuhasabah diri samada ia adalah ujian atau kifarah atau peringatan. Sama-sama renungi bahawa syurga bukan percuma untuk kita diami.
🤗Untuk antologi ini, saya bagi 10 bintang. Jom baca. Pasti anda tidak akan jemu dan tidak sabar untuk menelaahnya daripada kulit ke kulit.
👩🏼🦱Selamat membaca
Bagi yang ingin mendapatkna naskah ini, sila ke Kedai buku Popular .
No comments:
Post a Comment